Merealisasi Transformasi Sosial Negara melalui SIX

  • 08/10/2018

3 May 2018 - AIM Reporter 

(Read more at https://innovation.my/aim_reporter/merealisasi-transformasi-sosial-negara-melalui-six/)

Kerjasama padu antara syarikat swasta dan organisasi berasaskan sosial atau dikenali sebagai Social Purpose Organisation (SPO) yang merangkumi badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta keusahawanan sosial adalah faktor utama dalam usaha kerajaan untuk merealisasikan Transformasi Sosial Negara melalui Social Impact Exchange (SIX).

SIX telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Disember 2017 dan merupakan konsep pembayaran berdasarkan impak (‘pay-for-impact’) pertama di Malaysia yang direka berpandukan konsep bursa saham memfokuskan kepada pembiayaan projek-projek intervensi sosial oleh SPO.

Inisiatif ini telah dilaksanakan hasil kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), di bawah skop pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), dengan Majlis Korporat Lautan Biru (BOCC), 1Malaysia For Youth (iM4U) dan Kementerian Kewangan Malaysia.

SIX adalah sebuah portal yang merealisasikan strategi lautan biru dalam transformasi sosial dengan penyaluran sumber korporat yang belum diteroka kepada SPO berprestasi tinggi. Portal ini akan membantu syarikat-syarikat korporat mengenalpasti SPO yang bersesuaian dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta penjenamaan mereka.

SIX akan menjadi rujukan utama SPO bagi sumber dana untuk projek-projek intervensi sosial mereka

Portal ini akan menjadi rujukan utama SPO bagi sumber dana untuk projek-projek intervensi sosial mereka. SIX direka menyerupai bursa saham dan penyenaraian IPO oleh syarikat-syarikat. Dengan penyenaraian pada SIX, SPO akan dinilai berdasarkan kapasiti, rekod, impak, kelestarian kewangan, dan elemen-elemen inovatif yang dimiliki.

PIC 1
Naser Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

“Kebanyakan syarikat-syarikat swasta dan badan-badan korporat sering menghadapi kesulitan dalam mengenalpasti SPO untuk program Tanggung Jawab Sosial Korporat ataupun CSR yang menepati jenama dan profil pasaran mereka. Pada masa yang sama SPO menghadapi kesulitan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sosial kerana ketiadaan dana dan sokongan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AIM Naser Jaafar.

“Melalui portal SIX, transformasi sosial negara akan dapat dipermudahkan dengan penyaluran dana yang lebih efisyen kepada SPO. SPO yang terpilih dan disenaraikan di dalam SIX juga boleh terus menghubungi penyumbang dana yang turut tersenarai di dalam portal tersebut. Selain dapat menjimatkan masa dan gunatenaga, ini berupaya meningkatkan daya inisiatif di pihak SPO untuk memohon dana dari syarikat-syarikat,” tambahnya.

Melalui portal SIX, transformasi sosial negara akan dapat dipermudahkan dengan penyaluran dana yang lebih efisyen kepada SPO

“Dengan adanya SIX, SPO boleh merancang aktiviti secara strategik dan berterusan dengan adanya akses kepada sumber dana yang konsisten. Kami mengharapkan SIX bakal menjadi platform di mana pelaburan dan impak diintegrasikan. Masa depan ‘pay-for-impact’ Malaysia untuk projek intervensi sosial bermula di sini,” katanya.

rsz_pic_2

Dengan adanya SIX, SPO boleh merancang aktiviti secara strategik dan berterusan dengan adanya akses kepada sumber dana yang konsisten.

Keunikan SIX adalah mekanismenya yang membolehkan pembiaya mendapatkan maklumat melalui portal ini untuk mencari program-program intervensi sosial yang bersesuaian dengan matlamat syarikat mereka. Pembiaya akan lebih berkeyakinan bahawa dana yang disalurkan kepada SPO yang mempunyai kredibiliti mampu memberi impak yang menguntungkan.